Sabtu, 23 November 2013

insiden kad pengenalan palsu dan perbuatan jenayah (Anizam Abd rahman)






Dua pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dikenakan hukuman sebulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini kerana memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu.

Mereka didakwa di dua mahkamah berlainan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh Totoh Sabatal, 40 dan Yusri Sabiron, 41, menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan memerintahkan mereka dihantar ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Totoh selepas dia
mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Abdulzan Ludjuman, 43, sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Totoh, didakwa melakukan kesalahan itu di Bayan Villa, Guard House 2, Seri Kembangan, pukul 1.15 pagi tadi dan didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret KB Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman terhadap Yusri selepas dia turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama dengan menggunakan MyKad atas nama Norazman Abdillah, 43, sebagai pengenalan dirinya di tempat dan waktu sama.

Kedua-dua kes itu dikendalikan pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zubaidah Zahol Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa JPN akan memeriksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka.

Langkah itu diambil susulan kejadian seorang pengawal keselamatan, dipercayai warga asing, menembak mati seorang pegawai wanita dalam insiden rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya, 23 Oktober lepas.

Suspek berkenaan dipercayai menggunakan MyKad palsu untuk mendapatkan pekerjaan tersebut.

-Bernama


by : Anizam Bin Abd Rahman
YA2012-2047

Sumber :http://www.malaysiakini.com/browse/a/my/Bernama
             amenoworld.blogspot.com
             usezworkshop.blogspot.com 

22 pengawal keselamatan Filipina ditahan miliki IC palsu

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 22 pengawal keselamatan warga Filipina termasuk lima wanita kerana memiliki kad pengenalan palsu dalam satu serbuan di Pangsapuri SS8, Kelana Jaya di sini malam tadi.
Dalam operasi yang turut disertai oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 1 pagi itu, pasukan terbabit turut menahan 20 warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh di kawasan sekitar.
Siasatan mendapati kesemuanya melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Pengarah Siasatan Dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang berkata, siasatan awal mendapati kad pengenalan palsu dimiliki pengawal keselamatan terbabit diperoleh daripada ejen dengan harga antara RM300 ke RM500 sekeping.
Katanya, rata-rata individu yang ditahan terbabit telah tinggal di ibu negara ini sejak tiga tahun lalu dengan menggunakan kad pengenalan beralamat di Sabah. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131113/je_10/22-pengawal-keselamatan-Filipina-ditahan-miliki-IC-palsu#ixzz2lX5l6LXv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

BY : JULIE ANN BINTI MENSULIUS

JPN perjelas isu pengeluaran kad pengenalan

Cetak


KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan kad pengenalan palsu yang kononnya terdapat dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran kad pengenalan kerana JPN hanya mengeluarkan kad berkenaan kepada mereka yag benar-benar layak berdasarkan peruntukan perundangan negara. 


"Adalah ditegaskan bahawa JPN tidak pernah mengeluarkan kad pengenalan palsu dan sebaliknya hanya membekalkan rekod sahih saja kepada SPR untuk tujuan semakan identiti daftar pemilih," kata JPN dalam satu kenyataan hari ini. 

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini dilapor menghantar memorandum kepada JPN mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran kad pengenalan membabitkan dua perkara utama iaitu penggunaan kod negara "71" dan kad pengenalan palsu dalam DPI. 

JPN berkata, dakwaan yang dibuat pihak berkenaan melalui memorandum itu adalah tidak benar. 

Menjelaskan isu individu yang didakwa mempunyai nama yang sama dan memiliki nombor kad pengenalan hampir sama, JPN berkata rekod jabatan menunjukkan sembilan daripada 10 nama disahkan adalah individu berlainan berdasarkan gambar dan cap jari yang berbeza. 
"Mereka mempunyai persamaan hanya pada nama dan tarikh lahir saja. Individu ke-10, Azinah binti Mohd Fazin (800820-02-5150) tiada rekod di jabatan ini," kata kenyataan itu. 

JPN menjelaskan kod negara “71” yang terdapat dalam nombor pengenalan diri digunakan mulai 1990, dan pada masa itu kod khusus bagi setiap negara luar masih belum diwujudkan dengan hanya kod negara 71 diguna pakai bagi semua kelahiran warga Malaysia dan pemastautin tetap Malaysia di luar negara. 

"Mulai 2001, kod negara secara khusus bagi pengenalpastian negara kelahiran individu diwujudkan bertujuan membezakan kod kelahiran individu di luar negara," kata JPN, sambil menambah nombor pengenalan diri yang dikeluarkan menggunakan kod negara 71 sebelum ini, adalah sah dan terpakai bagi pemilik sedia ada. 

Nombor pengenalan diri 12 digit pada kad pengenalan mula digunakan pada 1990 dan kombinasi antara tarikh lahir, kod negeri/negara tempat lahir serta nombor siri janaan komputer bagi menjadikan nombor tersebut unik dan tiada pertindihan. 

Senarai kod negara luar yang dimaksudkan boleh dilayari melalui portal rasmi JPN, www.jpn.gov.my. - BERNAMA
SUMBER : http://www.bharian.com.my/articles/JPNperjelasisupengeluarankadpengenalan/Article/
By : Mohd.Arif Bin Hj Suhaimi

Gejala Kad Pengenalan Palsu


  • Gejala kad pengenalan palsu
OLEH: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Tarikh: November 18, 2013

KES kad pengenalan palsu bukanlah satu fenomena baru di negara ini kerana ia kerap kali dilaporkan berlaku sejak beberapa tahun yang lalu.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes seorang pegawai bank yang ditembak mati oleh pengawal keselamatan di Subang Jaya.

Mengikut siasatan pihak berkuasa, kad pengenalan yang digunakan pengawal terbabit ialah kad pengenalan palsu. Sehingga ada individu yang menjadi korban, masalah ini belum lagi dapat diselesaikan. Bukan setakat warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu ini, malah warga tempatan juga menggunakannya.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu membuat kad pengenalan mengikut prosedur betul agar tidak menyusahkan majikan atau pihak tertentu pada masa yang akan datang.

Selain itu, kita perlulah bersama kerajaan dalam membanteras gejala ini daripada bermaharajalela di negara ini.

1. Mengapa kad pengenalan palsu digunakan?

Untuk mendapatkan pekerjaan
Untuk membuat perniagaan
Untuk melakukan aktiviti penipuan

2. Mengapa sesetengah individu/pihak menggunakan kad pengenalan palsu?

Menyembunyikan identiti sebenar
Merancang untuk melakukan jenayah tertentu
Mudah untuk minta pekerjaan pakai identiti palsu

3. Berapakah harga untuk memb uat kad pengenalan palsu?

Antara RM50 hingga RM500

4. Bagaimana pihak/individu mendapatkan kad pengenalan palsu?

Mereka memperoleh kad pengenalan melalui sindiket yang membuat urus niaga ini.

5. Mengapa sindiket ini memb uat perniagaan kad pengenalan palsu?

Sindiket ini memperoleh keuntungan lumayan dengan menjalankan perniagaan ini.

6. Apakah perbezaan kad pengenalan palsu dan pengenalan asli?

Individu atau pihak tertentu boleh memalsukan base card (permukaan kad yang berwarna biru). Untuk mengesan sama ada kad pengenalan tersebut asli atau palsu, pihak berkuasa perlu memeriksa cip yang berada di permukaan kad pengenalan tersebut.
Melalui satu alat yang dimiliki oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mereka boleh memeriksa maklumat peribadi seseorang di dalam cip tersebut.
Kebiasaannya, pihak sindiket tidak dapat menukar butiran maklumat peribadi pemilik asal kad pengenalan ke atas kad pengenalan palsu.

7. Apakah hukuman kepada pihak/indvidu yang menggunakan kad pengenalan palsu?

Disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/gejala-kad-pengenalan-palsu-1.222005

by : BEATRICE 







Pasangan Kembar Diberkas Bantu Siasatan Samun Kereta

November 22, 2013 18:35 PM
Pasangan Kembar Diberkas Bantu Siasatan Samun Kereta

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Polis memberkas sepasang kembar wanita yang dipercayai ada kaitan dengan dua kes samun dan melarikan kenderaan di bandar raya ini dua minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt M Chandra berkata pasangan kembar berusia 23 tahun tersebut ditahan pada 15 Nov lepas di Ulu Putatan, ketika menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dilapor dilarikan pada 7 Nov.

"Kedua-dua wanita itu ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 59 tahun selepas keretanya dilarikan oleh seorang lelaki ketika mangsa meletak kereta di hadapan Pasar Besar Kota Kinabalu pada 6.20 pagi.

"Suspek memasuki keretanya dan mengugut mangsa dengan parang sebelum menolaknya keluar dan melarikan kereta itu," katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Siasatan awal terhadap kedua-dua wanita mendapati mereka mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang melarikan sebuah lagi kereta jenis sama di hadapan kompleks membeli-belah Suria pada 9 Nov, katanya.

Beliau berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa seorang wanita warga China, turut dilarikan bersama-sama dengan kereta tersebut sebelum ditinggalkan dia di pekan Telipuk, kira-kira 15 kilometer dari sini.

Mangsa yang berusia 38 tahun itu turut kehilangan barangan berharga serta wang tunai berjumlah RM4,000 selain mengalami kecederaan kerana bergelut dengan suspek, katanya.

Chandra berkata kereta itu yang sebenarnya disewa oleh mangsa ditemui semula empat hari kemudian dalam keadaan baik di hadapan Bangunan 1Borneo.

Beliau berkata polis kini memburu kedua-dua lelaki berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Azwal Azman di talian 0136979468.



-- BERNAMA

sumber: //www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=995394&cat=sbm

Eviannie

Kad pengenalan palsu dikesan dalam RCI Sabah hari ini

Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah (RCI) hari ini berjaya mengesan kad pengenalan palsu milik seorang warga Indonesia, berusia 46 tahun.
Ishak Us'luan yang lahir di Timor, Lambata, Indonesia didapati mempunyai kad pengenalan palsu sejak 1984, setahun selepas beliau memasuki Sabah untuk bekerja ketika RCI membuat semakan dengan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) nombor kad pengenalan milik Ishak didapati tidak berada dalam pangkalan data JPN.
"Kami telah semak dengan JPN tiada rekod IC kamu," kata pegawai penyiasat Jamil Aripin kepada Ishak yang membuatkan dia terdiam ketika memberi keterangan hari ini.
Bekas hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Shim Lip Kiong kemudiannya mengarahkan Jamil melakukan tindakan sewajarnya berdasarkan penemuan tersebut sama ada mahu merampas kad pengenalan Ishak atau tidak.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kad-pengenalan-palsu-dikesan-dalam-rci-sabah-hari-ini/

Eviannie

Sindiket dalang kad pengenalan palsu

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Satu sindiket 'khas' dipercayai menjadi dalang menjual kad pengenalan palsu kepada warga asing bagi membolehkan golongan itu mendapatkan pekerjaan di negara ini dengan mudah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, pihaknya juga percaya kad-kad pengenalan palsu yang dijual oleh sindiket terbabit diperoleh menerusi kegiatan jenayah seperti ragut dan curi.
"Kami yakin kepada kewujudan sindiket ini. Kami telah arahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras warga asing yang mempunyai kad pengenalan palsu dan sindiket khas yang menjadi dalang menjualnya supaya masalah ini diselesaikan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan (Al-Jamiatul Khairiah) Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ke-26 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah, Datuk Syed Husin Al-Habshee dan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Ali Al-Attas.
Semasa sidang Dewan Rakyat pada Rabu lalu, Wan Junaidi memberitahu, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 565,157 kad pengenalan bertaraf warganegara (MyKad) dilaporkan hilang berbanding 429,137 MyKad sepanjang tahun lalu.
Dalam pada itu, Wan Junaidi mendedahkan 80 peratus rakyat negara ini menolak pindaan undang-undang bagi membolehkan perkahwinan sejenis diamalkan.
Katanya, dapatan itu diperoleh daripada kajian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen beberapa tahun lalu yang membuat tinjauan di seluruh negara.
"Berdasarkan kajian itu, kami mendapati 80 peratus rakyat Malaysia berpendapat tidak perlu pindaan undang-undang bagi membolehkan budaya songsang itu diamalkan di Malaysia.
"Jelas sekali rakyat tidak menerima budaya asing yang bercanggah dengan norma kehidupan berpasangan," jelas beliau.
Ditanya sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) di Geneva, Switzerland, Wan Junaidi memberitahu, sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan tidak bercadang berbuat demikian.
"Mereka bebas menyuarakan pandangan tetapi ingin ditegaskan di sini bahawa tuntutan itu bertentangan dengan amalan rakyat Malaysia dan pihak berkuasa memandang berat perkara itu," ujar beliau.

By: SYLVIA JOCYLENA SUMPING